Thursday 24 October 2013

ANAK JATI SAYONG LEMBAH CIPTA NAMA BIDANG TEATER

Lahir di Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar pada
4 Disember 1948 dan meninggal pada 2 Oktober 1981
Anak seni itu namanya Hashim Yassin @Zaid. Sebuah drama klasik yang berjudul “Citrawirama Langkasuka” telah dipentaskan oleh Grup Estetika, Universiti Utara Malaysia sempena Persidangan Dialog Utara V pada 28 April 1991 di Dewan Sultan Abdul Halim Alor Setar.  

Persoalan yang dipaparkan adalah tentang kedatangan agama Islam di negeri Kedah Darul Aman.  Penulisnya menggunakan teknik imbas muka dengan bantuan gerak cahaya dan bunyi.  Drama ini menggambarkan zaman kekufuran dan salasilah raja-raja di utara Tanah Melayu.  

Skrip drama tersebut ditulis oleh Hashim Yassin, suatu nama yang tidak asing lagi dalam perkembangan drama moden Malaysia. Inilah karya terakhirnya, sebelum kembali menemuinya.

Sebelum ini, pada tahun 1977, drama Hashim yang berjudul “Paku Alam” yang memenangi Pesta Drama Kebangsaan dianggap oleh beberapa peneliti drama pentas sebagai karya sastera yang istimewa dengan kehadiran watak-watak sastera lama dalam drama moden.  Pada tahun 1982 pula dramanya, “Imbas” yang juga memenangi Pesta Drama Malaysia telah meraih Trofi Seri Panggung untuk kategori penerbit, penyunting dan pereka set terbaik pada Malam Seri Angkasa RTM, Disember 1983.  Kemuncaknya drama ini memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1982/1983.  Pada 1 Oktober 1991, sehari sebelum Hashim menghembuskan nafas terakhirnya, “Imbas” dipentaskan semula oleh Kumpulan Teater Alor Star (Kumtas) sempena Pekan Teater peringkat negeri Kedah.

Hashim menceburkan diri dalam bidang penulisan drama pada tahun 1957.  Minat awalnya tumbuh semasa beliau bersekolah Inggeris. Sebagai calon peperiksaan Senior Cambridge, para pelajar dikehendaki menghafal satu babak daripada teater Shakespeare berjudul “Macbeth” sebagai syarat untuk lulus mata pelajaran Kesusasteraan.  Beliau juga terlibat dalam persembahan sandiwara sekolah yang memaksa pelakonnya mencipta dialog secara spontan semasa berlakon.  

Pengalaman ini semua banyak membantu beliau, malahan merupakan latihan awal bagi Hashim dalam menghasilkan skrip drama kemudiannya.  Skrip drama Hashim yang pertama ialah “Hot News”, drama komedi yang ditulis semasa beliau aktif dalam Kelab Teater Inggeris/Melayu.

Di samping minat sendiri yang bercambah di sanubarinya, Hashim mengakui bahawa dorongan juga telah diberikan oleh gurunya yang berbangsa Inggeris, serta dua orang tokoh sasterawan tanah air, Awang Had Salleh (Tan Sri) dan Noordin Hassan (Dato’).  Galakan juga datang daripada ketua kampungnya, Abdullah Sani yang memimpin Kelab Teater Bacaan Sayong Lembah.

Semasa berada di kampung iaitu sekitar tahun 1957 hingga 1959, Hashim bergiat dalam kelab teater ini.  Kelab ini sering mengadakan persembahan sandiwara sebagai satu kegiatan hiburan untuk penduduk-penduduk kampung.  Begitu juga ketika menuntut di maktab perguruan, Hashim sering mengambil bahagian sebagai pengarah dan pelakon dalam persembahan drama.  

Di maktab juga beliau mula mempelajari ilmu sastera.  Bagi mendalami pengetahuan dalam bidang drama, Hashim pernah mengikuti Kursus Audio Visual di British Institute of Career (BK) di Australia.

Kegiatan teater Hashim mula menonjol pada sekitar tahun 1960-an dan untuk pertama kali beliau mementaskan “Megat Terawis” dan “Di Ambang Sore” di Pesta Kesenian Pulau Pinang.  Pada tahun 1963, beliau mementaskan pula “Panca Media” sempena Kongres Guru-guru Malaysia di Alor Setar.

Selepas itu, Hashim menempah kejayaan demi kejayaan dan pada tahun 1964 hingga 1990, sekurang-kurangnya beliau berjaya menghasilkan dua buah drama dalam setahun.  Karya Hashim sering memenangi hadiah, antaranya  pada tahun 1965, drama, “Sasau” memenangi Hadiah Drama Terbaik daerah Alor Setar.  Kemudian dalam Pesta Drama Kebangsaan anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan 1974, drama Hashim yang berjudul “Inflakasta” memenangi Hadiah Teknik Terbaik.  Setahun kemudian, pada tahun 1975, dramanya “Dalang” menjadi johan dalam Pesta Drama Kebangsaan.  Tahun berikutnya, iaitu pada tahun 1976, “Joget Gelombang Beralun” mendapat hadiah penghargaan Pesta Drama Kebangsaan 1976.

Anak kedua daripada lima beradik, empat orang lelaki dan seorang perempuan ini menerima pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Lasah.  Di sekolah inilah bapanya bertugas sebagai guru besar.  Kemudian Hashim melanjutkan pelajaran di Sekolah Clifford, Kuala Kangsar dari tahun 1958 hingga 1961.  Tamat sahaja persekolahan, beliau terus mengikuti latihan perguruan di Maktab Harian Alor Setar, iaitu dari tahun 1962 hingga 1963.  Setelah lulus latihan, beliau ditugaskan mengajar di bandar yang sama.  Akhirnya, jawatan ini terpaksa dilepaskan pada tahun 1984 kerana Hashim diterima bertugas di Universiti Utara Malaysia sebagai pegawai kebudayaan.

Dalam berkarya, Hashim mempunyai pegangan bahawa penulis drama adalah penyampai perutusan kepada pembaca.  Sebaris perkataan yang ditulis akan membina sebuah tamadun pada masa hadapan.  Visi dan misi perkembangan pemikiran manusia terletak pada pena pengarang.  Demikian yang dinyatakan oleh Hashim dalam buku Jambak 2.

Sebagai penulis yang prihatin terhadap perkembangan sastera semasa, Hashim aktif berpersatuan.  Beliau diangkat sebagai pemimpin beberapa persatuan, antaranya ialah Majlis Teater Sekolah-sekolah Kedah, Kumpulan Artis Utara (KAU), Kumpulan Teater Alor Setar dan Lembaga Pengurus Majlis Kebudayaan Negeri Kedah.  Atas jasa dan kesungguhannya mencipta dan mempertingkatkan mutu sastera khususnya drama, Hashim dianugerahi Pingat Cemerlang Kedah (PCK) oleh Kerajaan Kedah dan Pingat Pangkuan Negara (PPN) daripada Kerajaan Malaysia. 

No comments:

Post a Comment