DARI KOTAK FIKIR RAHMAH SAAD




Kali ini Akhi akan petik satu lagi status Puan Rahmah MS. Yang agak baru iaitu:

Dalam budaya Melayu makan sireh sudah semakin pupus. Kesedaran kesihatan yang menggaitkan kapur dan gambir sebagai punca kanser mulut, menyebabkan generasi saya atau sebelum saya tidak lagi makan sireh. Namun, bagi masyarakat Myamar, makan sireh masih menjadi budaya mereka. Seawal umur 20 tahun, orang Myamar, lelaki dan perempuan akan makan sireh. Sireh seperti rokok, yang kalau tidak dikunyah selepas makan, terasa tidak puas. Demikian kata Yusof yang saya temui di hospital tadi pagi. Sebelum berpisah dia memberi saya selipat sireh. Langsung saya karang pantun ini.


Sireh sepiak berpinang muda

Sedap dibubuh secalit kapur
Kasih tidak memandang rupa
Biar buruk sayang tak luntur


Sireh diikat pinang sepiak
Nanti dilipat barangnya tujuh
Kasih yang dekat memang tak luak
Hati teringat orang yang jauh


111113  9.30 MALAM ISNIN





RAHMAH SAAD

Akhi namakan halaman ini "Dari kotak fikir Rahmah Saad" kerana Akhi akan memuatkan status-status FB Rahmah Saad dan Akhi juga berharap agar Puan Rahmah sudi meluahkan apa saja buah pemikirannya yang Akhi rasa akan menyumbang kepada penambahan ilmu pengetahuan kepada kita semua. Walau baru kenal tidak sampai pun sebulan, ternyata Akhi tersentuh dan teruja dengan cara tulisannya... mudah dibaca dan bersahaja tetapi ada pengalaman dan ilmu yang boleh dikutip walau pun hanya sekadar satu para.

Akhi roll hampir dari separuh FBnya ternyata banyak yang dapat dimanfaatkan. Pantun, Puisi dan Gurindamnya juga terkesan dihati dan jiwa Akhi, Gurindam yang sudah lama tidak Akhi baca kerana bahan begitu sudah agak lama tidak Akhi jumpa terutama di zaman IT ini. Semoga dengan wujud halaman begini akan dapat kita sama-sama manfaatkan apa saja cetusan dari pemikiran sahabat kita ini.

Dan tentunya di permulaan halaman ini Akhi ingin mengucapkan berbanyak-banyak terimakasih kepada Puan Rahmah kerana mengizinkan Akhi mengutip apa saja buah fikirannya untuk dimuatkan di halaman mutiara ini. 


Untuk pertamakalinya Akhi telah petik statusnya tanggal 8 November 2013:

"Saya telah beberapa kali mengikuti seminar motivasi tempatan dan juga antarabangsa yang harganya ratusan ringgit ( saya percuma) sekadar ingin tahu apa yang ingin disampaikan oleh penceramah ini. Peserta memang berapi semangatnya apabila dibakar oleh penceramah yang telah dibayar untuk itu. Saya yang telah melalui pengalaman berpuluh tahun berniaga, tak ada yang baru bagi saya. Cuma teori dan ilmu itu lebih tersusun dan disampaikan oleh orang yang pakar bercakap.

Saya pernah bertanya beberapa sahabat bagaimana mereka boleh berjaya sampai ke satu peringkat yang saya kagumi. Jawapannya ialah iltizam yang jitu untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih selesa, atau satu transformasi dengan hasrat untuk mengubah sesuatu keadaan hidup. 


Saya berniaga bukanlah atas desakan hidup yang susah, tetapi kerana desakan untuk memantapkan ilmu keibubapaan di kalangan ibu bapa muda yang kini sudah terpisah daripada keluarga induknya. Keibubapaan juga memerlukan satu ilmu, yang pada pandangan saya pada tahun 70-an tidak ada bahan bacaan seumpama itu. Dan menjadi satu kewajipan kepada saya sebagai penulis untuk menerajuinya. Pada waktu itu. tahun 1989 hanya Majalah IBU berada di pasaran dan kemudian diikuti Majalah CAHAYA MATA.


Kehidupan saya selepas melibatkan diri dalam industri ini sangat pahit, namun atas semangat itu, saya tidak berputus asa. Kadang-kadang timbul rasa, "kenapa aku menyiksa diri, sedangkan aku boleh hidup senang?" Tanpa iltizam yang kukuh, datanglah pakar motivasi yang hebat macam mana pun tidak akan berjaya. Ia hanya akan tinggal abu setelah apinya padam."



No comments:

Post a Comment