Friday 20 December 2013

DI SINI AKU BERMULA

Blog ini Akhi bina hasil dari pengalaman yang Akhi kutip sejak dari tahun 1969 lagi - bermula dari sebuah kampong di Bandar Diraja Kuala Kangsar. Ketika itu Akhi dianugerahkan Allah SWT daya kreativiti yang sederhana tetapi mampu menonjolkan diri dikalangan rakan-rakan sebaya dan pihak-pihak berkuasa. 

Alhamdullillah sejak waktu itu, Akhi terus mengasah bakat dalam beberapa bidang seperti penulisan, pengurusan, kepimpinan, fotografi, musik dan pembikinan drama.

Akhi juga terlibat secara aktif dalam politik (nanti Akhi ceritakan khusus dalam bab politik pulak)

Walaupun begitu Akhi tidak fokus pada sesuatu bidang sahaja. Kejayaan yang dicapai tidak mendorong Akhi untuk terus kekal disesuatu bidang, sedikit disana dan sedikit disini. Sebagai contoh dalam penulisan, saya terlibat dalam penulisan artikel, skrip drama dan lirik lagu.

Dalam penulisan skrip Akhi berjaya menyiapkan dua naskah pada tahun 80an - Villa Bukit dan Kerana Nadzirah (ditayangkan di RTM1) dan lirik lagu 'Insaf' (Kumpulan Perdana 1995) telah berjaya bertahan selama 7 minggu berturut-turut dalam carta lagu di Radio KL pada ketika itu disamping beberapa lagu yang dicipta oleh Saudara Rosli Selasih.




Dalam bidang fotografi Akhi telah juga mengukir sejarah dengan tertubuhnya PEJUTA (Persatuan Jurufoto Tanahair) yang berpusat di REDZUAN FOTOMEDIA, Bazar Pertama Kompleks. Akhi adalah Setiausaha Agungnya yang pertama.. 


DATUK HAJI SUHAIMI KAMARUDDIN Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merasmikan Penubuhan PEJUTA (Persatuan Jurufoto Tanah Air) yang Akhi menjadi Setiausaha Agungnya yang pertama.
























Sebahagian Ahli Ahli PEJUTA menjalankan aktiviti 
Sebagai wartawan bebas pula Akhi masih ingat tulisan saya dalam artikel 'Nama Seniman Agung di pawagam dhaif' merujuk kepada Pawagam P. Ramlee yang terletak di Chow Kit. Artikel tersebut telah diterbitkan di Akhbar Mingguan Tanahair dimana pawagam tersebut telah dirobohkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dibawah kuasa Datuk Bandar Tan Sri Elyas Omar selepas Akhi dipanggil oleh Datuk Bandar...

Memori paling indah dalam hidup Akhi bila dapat menerbitkan akhbar Suara Belia Malaysia terbitan Majlis Belia Malaysia dan Akhbar Gerakan Belia 4B Malaysia yang dinama Akhbar 'Belia Bergerak'. Akhi amat teruja,.dalam bidang pembikinan Buletin atau Mini Akhbar ini Akhi dianugerahkan bakat agak istimewa kerana kesemua elemen yang diperlukan dalam bidang pembikinannya dari penulisan, fotografi, rekabentuk hinggalah ke rekagrafiknya Akhi boleh buat sendiri.

Dalam pembikinan drama pula Akhi berjaya menjadi Penerbit Eksekutif kepada HVD Holdings Sdn. Bhd. (dulu HVD Film Productions & Distributors Sdn. Bhd.). Memilih skrip dan menyediakan bajet untuk dimajukan kepada pihak pengurusan dan kemudiannya melaksanakan pembikinan sesebuah drama yang telah diluluskan skrip dan bajetnya adalah tugas Penerbit Eksekutif..

Dalam bidang kepimpinan belia Akhi telah berjaya menubuhkan Pertubuhan Belia Dinamik Kuala Lumpur (Dinamik) dan menjadi Presidennya yang pertama. Pengalaman saya di Perak selama hampir 5 tahun menjadi Setiausaha Gerakan Belia 4B Daerah dan Setiausaha Majlis Belia Daerah Kuala Kangsar banyak membantu Akhi dalam meneruskan kelangsungan saya sebagai Presiden Dinamik.

Sewaktu Akhi berhijrah ke Negeri Sembilan dalam tahun 1982, saya telah berjaya menubuhkan Gerakan Belia 4B Cawangan Felda Pasoh Satu dan dengan lulusnya pendaftaran Akhi telah dilantik menjadi Naib Pengerusi 4B Daerah Jelebu, Negeri Sembilan.

Kebetulan ketika dilantik menjadi Naib Pengerusi Gerakan Belia 4B Daerah Jelebu, Felda Negeri Sembilan Barat sedang dalam proses penubuhan Majlis Belia Felda Negeri Sembilan Barat. Ketika Mesyuarat Agung penubuhannya Akhi telah dilantik sebagai Naib Pengerusi majlis tersebut.

Dalam bidang keusahawanan pula saya menjadi Penolong Setiausaha, Persatuan Peniaga-Peniaga Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun 2004 - 2007. Dan kemudian menubuhkan pula Pertubuhan Putraniaga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PUTRANIAGA) dan Akhi adalah Setiausaha Agungnya yang pertama. Projek pertama PUTRANIAGA adalah Expo Perdagangan di Plaza Bukit Bintang dan kemudiannya Plaza UE3 di Cheras, Kuala Lumpur.